Thursday, October 16, 2014

Pemergian Emak Tersayang


Buat Emak tersayang,

Sudah hampir 10 hari mak dijemput mengadap Ilahi.
Tanggal 5 Oktober 2014, iaitu 1 bulan sebelum harijadi mak dan di kala seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha...mak meninggalkan kami.
Namun, aku masih terasa-terasa kehadiran mak di sisi.Seolah-olah mak masih hidup. Seolah-plah mak menjalani kehidupan seperti biasa di rumah bersama Abah. Bezanya cuma, apabila aku menelefon Abah pada waktu sebegini, hanya Abah yg akan menjawab telefon dan mak masih tidur di katil belakang.Mana tidaknya, setelah aku berpindah ke KL pada awal bulan Ogos, aku amat jarang dapat pulang ke rumah bertemu mak dan Abah. Kadang2,setiap kali aku menelefon, mak tidur awal, Abah kata mak penat. Jadi, seolah-olah sudah menjadi rutin mak tidur awal dan sekiranya mak bangun, mak tidak gemar bercakap di telefon. Dia lebih suka melayan perasaan sendiri. Sedih rasanya bila perasaan rindu pada mak terpaksa dibiarkan hanyut begitu sahaja kerana aku tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak mampu berbual dengan mak seperti dahulu.

Hepatis C- penyakit hati yang dihidapi oleh mak telah membawa mak pergi jauh dari dunia realiti. Penyakit yang tiada ubat/vaksin, penyakit yang menghancurkan hari-hari bahagia mak. Mak tidak pernah tau yg dia mempunyai penyakit ini sehinggalah mak menjalani pemeriksaan doktor pada tahun 2009. Semuanya terjadi kerana pemindahan darah yang tidak melalui ujian saringan sekitar tahun 1980'an -  mak  kekurangan darah ketika sedang hamil pada waktu itu dan mak terpaksa menerima bekalan darah daripada orang lain. Tiada siapa yg sangka, darah yang diterima itu telah tercemar dengan kuman hepatitis C.

Tahun 2008/2009- mak masih kuat. Mak masih mampu menjalankan tugas harian sebagai guru sekolah dan sebgai ibu - memasak, mengemas rumah, membasuh baju etc. Semuanya dilakukan dengan sempurna. Dari kecil, begitulah mak. Sungguh hebat tenaga yang Allah berikan pada mak. Aku masih ingat ketika aku masih darjah 4, mak sibuk membuat kuih raya untuk jualan kpd rakan guru di sekolahnya pada Hari Raya Aidilfitri. Mak memang minat dan pandai memasak. Semuanya mak lakukan untuk mendapat wang tambahan membesarkan kami 5 beradik. Selain kuih raya, mak juga rajin membuat kuih karipap bersama Abah (seperti karipap segera), ban bilis, kek prun etc  untuk terus menambah wang saku persekolahan kami. Mak mengajar di sekolah pada sesi petang, jadi, mak akan gunakan waktu pagi sepenuhnya untuk memasak makan tengah hari dan mengemas rumah. Apabila kami pulang dari sekolah, makanan pasti tersedia di atas meja dan pada zaman kecilku, aku tidak pernah kenal 'lauk bungkus'. Semuanya lauk mak.

Selepas pulang mengajar dari sekolah sekitar 7mlm, kerja mak masih belum selesai. Mak akan meneruskan misi memasak  nasi lemak & bihun goreng untuk dijual di asrama sekolah Abah. Mak bekerja tanpa henti sehingga larut malam. Dan apabila jualan laris, mak akan tersenyum gembira. Itulah hasil titik peluh mak. Dan masih segar di ingatan, laptop pertamaku pada tahun 2007 adalah hasil jualan kuih raya mak. Terima kasih, mak!

Setelah mak menjalani rawatan pada tahun 2010, mak kerap murung di rumah. Menurut doktor, itu adalah kesan sampingan ubat yang mak makan. Ketika mak murung dan marah2, Abahlah yang akan melayan, berjenaka dan menghiburkan hati mak.

Jun, 2014 adalah petanda kesihatan mak makin merosot. Mak mula murung dan kerap lupa. Mak akan tidur lama kerana penat. Setiap kali bangun, mak akan merungut sakit, sakit dan penat. Mak mula 'moody' dan mula lupa waktu dan hari. Walaupun mak jadi begitu, dia masih mahu melakukan segalanya sendiri. Mak tidak suka kita memegangnya berjalan, tidak suka dibantu  dan sebagainya. Mungkin kerana dia masih percaya pada kudrat yg ada - namun, takdir Allah swt mengatasi segala-galanya. Segagah mana mak cuba berdikari, mak rebah. Mak tidak mampu untuk mengambil pinggan di dapur - tangannya lemah. Pinggan jatuh. Betapa sedih aku mengetahui mak makin lemah.

Julai 2014- Bulan puasa mak tidak mampu berpuasa. Kami akan masakkan utk mak...tapi mak mula merungut makanan yg dimakan olehnya tidak sedap kerana tawar dan tiada garam. Apakan daya; demi kesihatan mak, menu tanpa garam yg disaran doktor perlu dipatuhi. Hari pertama Aidilfitri tahun ini, aku tidak dapat beraya bersama mak kerana beraya di rumah mertua di Kuantan. Rindunya pada mak hanya Tuhan sahaja yang tahu. Adik2 watsapp gambar raya kepadaku. Sedih dan sebak melihat raut wajah mak yang tersenyum dalam gambar, tetapi badan mak sangat2 kurus dan terlampau susut!

Ogos 2014 - Masih lagi bulan raya, tapi aku tidak merasakan apa2. semuanya tidak bermakna apabila mak mula meracau2 pada waktu malam dan mula tidak sedarkan diri.  Mak dihantar ke hospital beberapa kali dan kami mengambil alih tugas menjaga mak di hospital. Aku yg berada di KL menangis setiap hari mengenangkan mak. Ketika berkesempatan menjaga mak di Hospital Ipoh, aku bawa mak mandi dengan menaiki kerusi roda. Mak sangat comel. Mak sangat gembira walaupun sakit. Mak kata, "kesian k.ngah kena tolak dan angkat mak". Aku hanya menahan sebak. Aku terpaksa angkat mak perlahan2 untuk duduk di atas "tandas duduk". Pada waktu itu, mak masih boleh berjalan tetapi lemah. Mak hanya duduk tunggu dimandikan. Kemudian, sesi menyapu krim panas "Anugerah" untuk mak di bilik mandi sebelum memakai baju. Teringat mak tersenyum dan beritahu, "K.ngah rajin pakaikan mak Anugerah. Orang lain tak nak pakaikan". Aku hanya menggosok2 mak. Puas rasanya dapat mandikan dan pakaikan baju mak.

Sept 2014 - Keadaan mak makin merosot. Mak terus meracau tak kenal tempat. Kadang2 mak ok, kadang2 tidak. Mungkin toksin dalam badan mak terlampau tinggi kerana hati mak tidak dapat memproses makanan dengan baik. Akibatnya, ia menggangu fungsi sistem badan lemah. Mak akan terus dibawa ke hospital sekiaranya keadaannya makin lemah. Sewaktu aku di KL, aku sentiasa teringatkan mak. Setiap kali telefon Abah, abah akan beritahu yang mak tidur. Seingatku, jarang sekali aku dapat berbual dengan mak. Setiap kali mak dalam keadaan baik walaupun sekejap, aku akan ambil peluang bercakap dengannya. Teringat mak beritahu dalam telefon, "K,ngah, mak lapar. Depa masak tak sedap.  mak nak makan cucur sayur. K,ngah buat cucur sayur sedap." Sedihnya dengar. Aku beritahu mak, aku janji balik nanti akan masakkan mak cucur sayur.

Terima kasih Abah, abg dan adik2 yang rajin jaga dan masakkan utk mak. Dan yang paling penting, sanggup tahan karenah mak yang kadangkala mengamuk dan menjerit. Aku sedih kerana tak mampu utk berada di samping mak setiap masa kerana kekangan tugas di KL. Adik bongsuku sentiasa 'available' menjaga mak sehingga dia melanjutkan pelajaran di UTM, Johor. Dia yg dahulunya agak manja kini menjadi lebih kuat, Hikmah di sebalik kesusahan menjaga mak, semuanya adik beradaik kini mampu berdikari! Abah kini mampu memasak, membasuh dan mengambil tugas mak seorang diri, Ketika mak meracau waktu mlm, Abah juga yg tak tidur mlm jaga mak - Abah tolong mak solat dan suap mak makan - Abah sgt hebat. Terima kasih Abah!

21 Sept 2014- Mak keluar dari Hospital Taiping setelah 1minggu di wad. Aku pulang dengan bas dari KL. Aku hanya bersama mak 2 hari,  pada petang Sabtu sehingga petang Ahad. Waktu itu, mak makin sembuh dan boleh bercakap. Aku gembira dapat masak cucur sayur utk mak, tolak mak jalan2 dgn kerusi roda sehingga depan pintu rumah. Asalnya, mak nak keluar ambil angin tapi mak kata mata tak dapat buka mata dan tak larat nak keluar. Hari  terakhirku di rumah iaitu ahad, aku dan Abah mandikan mak. Mak menjerit2 sejuk walaupun sebelum itu air suam digunakan. Pada hari tersebut, mak tak larat bangun sebab tubuh mak makin lemah. Sebelum aku naik bas pada 5.30 petang, aku peluk dan cium mak. Aku tanya mak, "Mak sayang K,ngah tak?",  mak tidak mampu bercakap, mak hanya mengangguk-angguk. Mak sangat comel.

27 Sept 2014 - Aku berada di KL dan mengenangkan mak. Hajat untuk balik ke KK melawat mak apabila tibanya Raya Haji. Rupanya, mak terpaksa dikejarkan ke hospital semula kerana tidak bangun2 dari tidur.  Dalam solat, aku tak habis2 mendoakan kesihatan mak. Biarlah Allah sembuhkan mak dan panjangkan umur mak. Aku juga berdoa, sekiranya tiba masanya mak akan 'pergi' satu hari nanti, biarlah aku ada di samping mak dan biarlah aku menjadi orang terakhir menjaga mak.

4 Oktober 2014- Adik bongsuku yg menjaga mak di hospital, mengadu badannya gatal-gatal kerana alahan di asrama UTM. Jadi, aku akan mengambil alih tugasnya menjaga mak pada hari sebelum raya Haji. Mak masih meracau. Aku cuba bercakap dengannya,tapi aku tidak faham satu butir bicaranya. Aku menyuapnya bubur ayam tapi mak makan sgt sedikit. Aku juga memberi ubat utk buang air besar seperti yg diarahkan doktor. Hati terasa sedih. Kaki mak sudah bengkak. Tangan mak juga bengkak dan lebam2 merah. Setiap kali aku menyentuh mak, teringat2 perasaan ketika menyapunya krim Anugerah. Bila kusentuh kali ini, mak tidak bergerak2. Kakinya sudah kaku sejuk tidak seperti dulu. Aku mengalirkan air mata. Manakan tidak - Aku berada bersama mak tetapi mak tidak boleh bercakap langsung denganku. Rasa rindu sgt pada mak.

5 Oktober 2014- Pagi raya haji, aku di hospital. Abah telefon, memberitahuku dia akan ke hospital setelah selesai solat raya dan selesai upacara korban. Pada hari itu, mak nampak lain mcam. Adikku,H.O. di Taiping mengatakan mak sudah nampak tenat. Seterusnya, mak diberikan bantuan pernafasan. Kami memaklumkan hal ini kepada Abah, adik beradik dan sanak saudara... Abah tidak jadi ke upacara korban....semuanya hadir menziarahi mak dan mula membaca Surah Yassin. Pakcikku meminta kami adik beradik2 mengajar mak mengucap syahadah. Terasa sgt sayu pada ketika itu.

Allah memakbulkan doaku utk bersama mak buat kali terakhir. Ya Allah- betapa Kau Maha Mendengar!

Mak menghembuskan nafasnya yg terakhir pada waktu Asar. Terasa tidak percaya mak sudah tiada. Perasaanku bercampur baur. Sedih kerana mak pergi, tetapi lega kerana penderitaan mak kini berakhir. Aku hanya mampu memeluk Abah, adik2ku etc.

Tabahlah wahai hati.
Semuanya ketentuanNya.
Semua yg hidup itu akan mati. Itu janji Allah swt (Allah swt tidak akan memungkiri janji).
Setiap yg susah itu, akan disertai kemudahan.
Nikmat mana yg kamu ingin dustakan?

Al-fatihah Mak.
Ini giliran mak, giliran K.ngah dan yg lain pun akan menyusul kemudian.
K,ngah sayang mak. K.,ngah redha, Mak.
Insyallah syurga mak di sana.
Selagi hayat dikandung badan,selagi itulah K.ngah akan mendoakan kesejahteraan mak di sana.
Rindu pada mak lebih dari segala-galanya.
Hanya doa utk mak - tenanglah mak di sana.


Yang merinduimu,
K.ngah.